Mengejar bayang tidak berkesudahan

Apabila memikirkan peribaratan dunia dan akhirat, teringat kisah yang pernah diceritakan kepada saya suatu ketika dahulu. Mengenai perihal seorang lelaki yang berdiri di tepi jalan di malam yang gelap gelita, hanya diterangi oleh sebuah lampu jalan tergantung tinggi di sebuah tiang.Ia mengisahkan seorang lelaki yang mahu menangkap bebayangnya. Lelaki tadi mengejar bayang-bayangnya, tetapi malangnya bebayang tersebut semakin jauh dan menjadi semakin panjang malah sudah semakin mustahil untuk dia mencapai bayang-bayang tersebut. Akhinya, tanpa dia sedari, dirinya mulai jauh dari satu-satunya cahaya lampu di jalan yang gelap. Dia kini menuju kepada kegelapan dan menghampirkan dia kepada kesesatan.

Tetapi, dia lantas tersedar lalu berfikir sejenak. Katanya, “Sekiranya aku berjalan menjauhi cahaya, bebayang akan menjauhiku. Tetapi sekiranya aku berjalan ke arah cahaya, bayang-bayang ini pula akan mengikutiku”. Lantas, dia berjalan menghampiri cahaya, dan apabila lampu tersebut betul-betul berada di atas kepalanya, benar seperti fikirnya, bebayang tersebut berada tepat di bawah kakinya.

Inilah perumpamaan dunia dan akhirat. Dunia diibaratkan bayang-bayang tersebut dan akhirat adalah lampu tersebut. Sekiranya kita mengejar dunia, kita akan melupakan akhirat dan akhirnya kita akan terus terjerumus ke jalan yang tiada berpenghujung. Kita akhirnya lemas, lupa dan sesat di dalam ketaksuban kita dalam mengaut untung dunia.Walhal, kalau kita membelakangkan dunia dan mengejar akhirat, dalam erti kata berkerja untuk mendapat redha Allah s.w.t., dunia akan dengan sendirinya mengejar kita dan akhirnya berada tepat di bawah tapak kaki kita menurut kemahuan dan kehendak kita seperti mana yang pernah dirasai oleh umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w., sahabat dan sealaf selepasnya. Dunia menjadi hamba kepada mereka dan bukan sebaliknya. Begitu juga perihalnya kita.Saudara. Berapa ramai dari kita mempunyai keperibadian yang sebegini?

Cuba kita tanyai dan amati berapa ramai daripada keluarga kita, masyarakat kita, pemimpin kita, mempunyai mentaliti sebegini. Islam tidak maju hanya dengan majunya politik, ekonomi atau kewangan atau majunya keduniaan.Sebaliknya Islam akan maju dengan majunya Iman. Islam dan umatnya mundur dengan mundurnya Iman. Dunia akan mengikut di belakang kemajuan Iman. Bukan sebaliknya. Berapa ramai dari kita terkeliru dan tertipu dengan hakikat ini. Hakikat Islam akan maju dengan mengejar dunia.

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah keseronokan yang memperdayakan” (Maksud Ali ‘Imran: 185).

Hamba Rabbani atau Ramadhani?

Ramadan semakin menghampiri kita, hanya tinggal beberapa hari lagi. Antara fenomena yang dapat saya saksikan ialah ada yang sudah mula meningkatkan amalan sunat masing-masing, ada juga wanita yang mula rungsing sama ada sempat menghabiskan puasa ganti, ada juga yang mula risau andai semua kedai sudah penuh untuk tempahan baju raya malah ada juga insan di luar sana yang tidak langsung mengendahkan kedatangan tetamu agung ini.

Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.

Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.

Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:

“Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.

Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada Allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesan kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain.

Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.

Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan.

Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.

Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya taat kepada Allah.

Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.

Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.

Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.

Akhir kalam, marilah berusaha bermujahadah untuk menjadi abid Rabbani dan bukan abid Ramadhani.

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan!!

Kisah A dan X

Sewaktu saya mengetuk-ngetuk papan kekunci PC saya, ingatan saya menerawang jauh ke sebuah peristiwa yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu. Kalau tidak salah saya ketika itu saya masih di sekolah menengah.

Ianya berlaku di dalam sebuah program yang menghimpunkan para kepimpinan persatuan dan sekolah di sebuah lokasi. Apa yang hanya ingin saya ceritakan di sini ialah pengalaman yang saya lalui ketika satu slot modul yang dilaksanakan di dalam program tersebut.

Modul itu mudah dan ringkas. Kami diberikan sehelai kertas yang bertulis seperti di bawah:

INI KISXH MESIN TXIP YXNG BURUK:

MESIN TXIP INI SUDXH BURUK. SUDXH LXMX SXYX MENGGUNXKXNNYX. SEKXRXNG SXYX BERCXDXNG HENDXK MEMBELI SEBUXH KOMPUTER YXNG BXRU DXN JXUH LEBIH CXNGGIH DXRI MEXIN TXIP BURUK INI. MESKIPUN MESIN TXIP INI BURUK, IX BXNYXK BERJXSX; TETXPI SEKXRXNG IX TIDXK BOLEH DIGUNXKXN LXGI. JXDI MESIN TXIP BURUK INI SXYX RXSX ELOK DISIMPXN SXJX DI DXLXM STOR.

Saya mencari apa maksud modul itu. Selain ayat-ayat yang sengaja ditulis dalam keadaan yang salah penggunaan abjad, apa istimewanya modul itu. Saya mula berfikir.

Saya melihat hanya abjad A yang tidak digunakan. Sebaliknya huruf A digantikan dengan penggunaan huruf X. Tetapi perkataan yang ditulis tidak mampu disebut sebagaimana huruf A berperanan. Mungkin kerana huruf A ini luas penggunaannya maka walaupun diganti dengan huruf X masih mampu diagak untuk membacanya. Namun kita masih tetap mampu meneka apa kandungan perenggan tersebut.

Apalah sangat harga sebuah mesin taip buruk itu? Kalau huruf A nya sudah rosak, dan tidak boleh digunakan lagi. Betullah tindakan tuannya supaya membeli komputer yang jauh lebih canggih bagi menggantikan mesin taip yang buruk dan rosak itu.

Namun jika dilihat dari sudut yang lain, ada beberapa pertimbangan dan pendapat yang boleh diutarakan. Antaranya ialah:

  1. Huruf-huruf adalah seperti seorang ahli dalam sesuatu kumpulan yang mana mempunyai peranannya yang tersendiri. Setiap huruf mempunyai sebutan yang tersendiri seumpama seorang ahli yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan nya yang unik. Oleh itu bukan semua orang akan sama seperti dalam cerita mesin taip tadi. Walaupun X cuba menggantikan fungsi A, namun ia tetap tidak sama.
  2. Walaupun A sudah tidak lagi berfungsi, X cuba untuk menggantikan A dalam erti kata X sanggup berkorban bagi menyelamatkan keadaan. Meskipun X bukanlah layak untuk mengambil tempat tersebut. Namun sekiranya X tidak cuba berfungsi seperti A, maka keadaan mungkin menjadi lebih teruk.

Dari kedua-dua perumpamaan di atas, dapat kita lihat bagaimana A dan X bekerja dalam satu pasukan dalam menyampaikan mesej tentang mesin taip buruk itu. Inilah yang dikatakan teamwork atau dalam istilah arab nya amal jamaie. Suatu konsep yang cukup sukar untuk di laksanakan oleh masyarakat yang bersifat individualistic pada dunia hari ini. Amal jamaie memerlukan disiplin-disiplin tertentu dari ahli-ahli nya agar misi yang di bawa tercapai. Sebagai contoh bagi seorang yang ingin membawa risalah islam, seseorang itu perlu bekerja dalam satu pasukan. Sirah sendiri menunjukkan bahawa Nabi SAW bergerak dalam satu pasukan. Setelah mendapat wahyu, Nabi terus menyampaikan nya kepada Abu Bakar. Abu Bakar pula mengislamkan 6 orang lagi sahabat pada malam beliau memeluk islam. Kita lihat bagaimana sahabat faham islam yang dinamik dan memerlukan pendokong-pendokong yang bergerak dalam amal jamaie.

Akhir kata, bersama lah kita mengambil pengajaran dari kisah mesin taip buruk ini dalam kita bergerak di dalam satu pasukan yang tersusun. Ingatlah bahawa kebaikan yang tidak tersusun akan kalah kepada kebatilan yang tersusun. Terimalah setiap ahli atau sahabat sekeliling kita seadanya. Paling penting, setiap dari kita memainkan peranan masing-masing dan cuba memaksimumkan kelebihan diri yang ada dalam menyampaikan risalah yang telah kita faham.

Pengharapan

Terlantar dalam kekusutan umpama tiada harapan
Terlalu banyak kesilapan terlanjur kulakukan
Ku tahu aku selalu terleka
Ku tahu ku tak sempurna lima
Timbul rasa insaf
Tersedar dari godaan dunia

Daku mahu kembali ke jalan yang sebenar
Tekad sedaya upaya agar KAU sudi terima
Continue reading

Hanya kepada-Mu

Tatkala beban semakin berat, hari berlalu panjang, hanya kepada Allah mampu kuserahkan segalanya…Hasbunallah wa ni’mal wakil….

Mereka mengira
adanya merpati dan labah-labah
yang berdiam dan merangkai sarangya di gua
sebagai petanda ketidakhadiran Nabi

Demikianlah
pertolongan Allah
lebih memadai daripada berlapis-lapis pakaian besi
dan megahnya benteng.

Syauqi berkata;
Ketika Tuhan menampakkan pengawassnya terhadapmu
maka tidurlah
kerana setiap peristiwa yang terjadi
akan membawa ketenteraman bagimu

Firman Allah; “…maka sesungguhnya kamu selalu berada dalam pengawasan Kami..” (Ath-Thur:48)

“…maka Allah adalah sebaik-baik pemelihara dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Yusuf:64)

Ilmu dan Amal

Tatkala sedang mengemas kini folder dalam laptop, terlihat satu file nama yang menarik. Di dalamnya terkandung satu ungkapan dari Ibnu Qayyim. Ungkapan yang bagi saya sendiri sangat menyentap hati dan semangat untuk terus beramal agar ilmu terus subur dan bertambah. Ungkapan yang ringkas yang wajar untuk setiap dari kita renung-renungkan:

“Hendaknya kita mengukur ilmu bukan dari tumpukan buku yang kita habiskan. Bukan dari tumpukan naskah yang kita hasilkan. Bukan juga dari penatnya mulut dalam diskusi tak putus yang kita jalani. Tapi…dari amal yang keluar dari setiap desah nafas kita”.(Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah)

Moga-moga kita terus menjadi golongan amilin dalam menjadi batu-bata Islam yang kuat.

Neraca dalam Kehidupan

Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syara’, dan tidak seharusnya di ambil nilai-nilai lain.Kebaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’ berdasarkan kaedah: “Yang baik ialah apa yang dipandang baik oleh syara’ dan yang buruk ialah apa yang dipandang buruk oleh syara’.” Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang daripada mengambil nilai yang lain daripada syara’.

Antaranya firman Allah SWT :

“Ikutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya.Amat sedikitlah kamu mengambil pengajaran (daripadaNya)” (al-A’raf:3)

“Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kamu dan apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepadaTaghut, padahal mereka telah diperintahkan agar mengingkari taghut itu.Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya.” (an-Nisa’:60)

Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilih dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam adalah merupakan kesesatan dan menyimpang daripada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan-sangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah SWT).”(al-An’am:116)

“Dan adalah tidak patut bagi lelaki mukmin dan tidak pula patut bagi perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu ketetapan akan ada pada mereka suatu pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Sesungguhnya sesiapa yang menderhakai Allah danRasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”(al-Ahzab:36)

Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah- ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini Abu al’Ala al-Maududi telah menyatakan dalam risalahnya, Ila AyySyai’ Yad’ual-Islam, bahawa Allah SWT tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertinggi (Supreme Law) melalui Rasul bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al-Quran dan sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya. Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan.

Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah golongan atau jamaah yang melepaskan dan membebaskan diri daripada Islam. Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Asy-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at-Tasawwur al-Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath-Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah SWT itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini. Firman Allah SWT:

“Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi dan semua yang terdapat di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (al-Quran) mereka tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan tersebut.” – (Mu’minun:71)

Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh.”(al-’Asr:1-3)

Asy-Syahid Sayyid Qutb ketika menghuraikan ayat ini telah menjelaskan bahawa Iman merupakan dasar hidup yang amat penting bagi membuahkan hasil yang baik dan bernilai dalam seluruh cabang hidup. Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Allah SWT telah membuat perbandingan di dalam FirmanNya:

“Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.”(Ibrahim:18)

“Dan orang-orang yang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun.”(an-Nur:39)

Amalan saleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata- mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.