Archive for March, 2011

Solat pengusir kedukaan

oleh : Mohd Hazwan Ab Halim

Stress atau tekanan dalam kehidupan merupakan suatu yang fitrah bagi setiap manusia. Cuma perbezaan di antara seorang dengan seorang yang lain adalah bagaimana seseorang itu menguruskan tekanan tersebut dengan sebaikya. Entri kali ini tidak akan bercakap berkenaan tips-tips menguruskan tekanan cuma hanya akan menyentuh sesuatu ‘key point’ yang kadang-kadang kita sebagai muslimin terlupa. Kita sibuk menguruskan tekanan kita dengan pelbagai cara yang di cipta oleh manusia lain malah ada yang mengambil untuk membunuh diri bagi melarikan diri dari stress. Sebagai muslim ada satu tips selepas pelbagai usaha lain yang kita ikhtiarkan yang boleh membantu kita dalam menghadapi stress dengan baik – solat.

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (Baqarah: 153)

Apabila ketakutan meliputi kita, kesedihan menghimpit kita, dan kerisauan mencekik kita, maka bersegeralah bersolat, nescaya jiwa kita akan menjadi tenang kembali dan tenteram. Sesungguhnya solat itu – atas izin Allah- boleh menjaga kita dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan malah boleh mengilhamkan fikiran kita jalan keluar untuk permasalahan yang kita hadapi. Mungkin timbuk persoalan sesetengah orang yang mengatakan bahawa mereka sudah puas bersolat namun hati tidak juga tenang. Dalam isu ini, mari kita muhasabah semula hubungan kita dengan Allah SWT sebelum-sebelum ini, berkenaan maksiat kita dan tentu sekali tidak lupa kualiti solat kita sendiri. Jika tiadanya khusyuk, diri masih melakukan maksiat terus menerus bagaimana Allah SWT mahu memberikan ketenagang ke atas jiwa yang gelap dan kosong? Jadi di situ sepatutnya tidak timbul isu tersebut dan seharusya kita teruskan berusaha dan bersolat tanpa putus asa terhadap rahmat Allah SWT. Mungkin Allah mahu menguji kita sedikit dan akan member jalan keluar dari pintu yang tidak di sangka-sangka. Berbaik sangkalah dengan Allah yang tidak akan pernah mungkiri janji.

Contoh ikutan tauladan kita semua, Rasulullah SAW tatkala dirundung masalah, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabbah ra:

“Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat” (Hadis)

Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah SAW.

Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar jika kita mahu berfikir adalah pelaksanaan solat wajib lima kali sehari yang merupakan penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Tuhan. Lima kali jugalah sebenarnya kita recharge iman kita dengan Allah SWT. Sedar tidak sedar solat inilah yang menjadi ubat mujarab untuk mengubati kesedihan dan penyakit yang kita deritai selagi mana kita melaksanakannya dengan bersungguh dan penuh pengharapan kepada Allah SWT. Sesungguhnya solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati kita sehingga hati kita mampu untuk redha dengan segala ketentuan Allah SWT.

Adapaun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih daripada satu kesusahan kepada kesusahan yang lain, dari satu goncangan jiwa kepada goncangan jiwa yang lain.

“Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka.” (Muhammad:8)

Justeru marilah kita melihat masyarakat sekeliling kita, ajaklah mereka untuk bersolat dan yang terpenting pastikan semua ahli keluarga kita telah Berjaya menjaga solat mereka. InsyaAllah segala permasalahan social budaya masyarakat mampu di tangani dengan berkesan. Kembalikan manusia kepada fitrah Pencipta.